Kata Penerbit

INSPIRASI MENJANA MOTIVASI


Ada orang beranggapan bahawa kekuatan atau kejayaan manusia bergantung pada kekuatan fizikal. Menurut mereka kekuatan fizikal datangnya daripada badan yang sihat,cergas dan bertenaga. Maka untuk tujuan itu ada orang yang memupuk kekuatan fizikal dengan memberi makanan yang berzat dan latihan yang sistematik. Namun kadang-kadang hasilnya tidak menepati jangkaan juga.

Walau bagaimanapun sejarah pernah membuktikan tanggapan kebanyakan orang itu adalah salah. Banyak kes di mana orang yang kurus,kurang makan,kelihatan "lemah" tetapi di medan juang dapat mengalahkan manusia yang berbadan sasa dan gagah perkasa.

Tiada siapa dapat menafikan sejarah kegemilangan yang dapat dicapai oleh umat Islam yang lemah dan serba serbi kekurangan pada peringkat awalnya. Namun mereka dapat suatu kekuatan luar biasa sehingga mampu membangun dan membina satu tamadun yang tiada tolok bandingnya. Begitu juga bangsa bangsa lain,malah tidak terkecuali individu individu tertentu yang mencapai kejayaan dan kemajuan walaupun mereka daripada golongan yang lemah dan serba kekurangan.

Oleh yang demikian kekuatan fizikal semata-mata bukanlah faktor penentu kekuatan atau kejayaan seseorang atau sesuatu golongan itu. Hal ini kerana kekuatan manusia itu sebenarnya banyak bergantung pada tiga kekuatan asas iaitu fizikal,mental dan spiritual. Gabungan tiga elemen inilah yang mampu mencetus satu kekuatan luar biasa.

Walau bagaimanapun kebiasaannya,kekuatan luar biasa itu tercetus mengikut urutan dari mental,spiritual dan fizikal. Kekuatan mental adalah anak kunci dan pencetus kepada kekuatan-kekuatan lainnya. Kekuatan mental itu bersumber daripda inspirasi yang akan menjana motivasi dan motivasi inilah yang akan menggerakkan fizikal untuk bertindak.

Inilah hakikat atau inti pati yang ingin kami sampaikan kepada pembaca melalui buku Satu Hari Satu Inspirasi ini. Kami ingin setiap pembaca dapat menggerakkan tiga kekuatan ini secara teratur sehingga mampu menghasilkan sesuatu yang ada nilai dan makna dalam kehidupan di dunia ini lebih lebih lagi di akhirat nanti. Semuanya bermula daripada inspirasi!

Inspirasi boleh diperoleh dengan pelbagai cara. Boleh dengan cara berfikir,bertafakur,merenung kejadian alam,bermuzakarah,mengkaji,emmbuat ujikaji dan sebagainya. Antara banyak cara tersebut yang termudah adalah mengkaji,yakni melalui pembacaan buku ataupun dokumen-dokumen yang berkaitan. Ini kerana inspirasi lebih mudah diperoleh dan dikembangkan daripada hasil kejayaan atau contoh teladan yang terhidang.

Untuk maju,berjaya dan bahagia dunia akhirat maka kami hidangkan kisah kisah teladan para nabi,sahabat,tabiin dan orang soleh zaman dahulu. Merekalah golongan yang diakui telah dapat menggapai hasrat tersebut. Maka tidak mustahil daripada tutur bicara,tingkah laku,nasihat dan wasiat mereka terbit inspirasi buat kita untuk bertindak menggapai hasrat yang sama. Selamat membaca dan mendapat satu hari satu inspirasi.


Penerbit ,

YAMANI ANGLE SDN.BHD.




No comments:

Post a Comment