Sunday 11 September 2016

Luqman Al Hakim dengan Telatah Manusia


Dalam sebuah riwayat menceritakan,pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menunggang seekor himar (keldai),manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu,setengah orang pun berkata: "Lihat orang tua itu tidak bertimbang rasa langsung,dia sedap menunggang himar sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian,maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menunggang himar itu,sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu,Luqman pun terus naik ke atas belalang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menunggang seekor himar,adalah sungguh menyeksakan himar itu."

Oleh sebab tidak suka mendengar percakapan orang,maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu,kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua-dua orang berjalan kaki,sedangkan himar itu tidak ditunggangi."

Dalam perjalanan mereka,kedua beranak itu pulang ke rumah,Luqman Hakim menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka dengan katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Sesiapa mengenal kebenaran,itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya,katanya, "Wahai anakku,tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan ditimpa kepadanya tiga perkara,iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya,lemah akalnya (mudah ditipu dan diperdaya orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya),dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

No comments:

Post a Comment