Saturday 24 September 2016

Meraih Syurga dengan Syukur dan Sabar


Ada kisah tentang Nabi Daud yang menurut saya cukup popular,sejauh yang saya tahu,kisah tersebut telah disebutkan dalam banyak kitab hadis.

Tuhan mewahyukan kepada Nabi Daud bahawa ada seorang perempuan yang kelak menjadi pendampingnya di syurga. Disebutkan,perempuan itu bernama Khuludah binti Aud. Nabi Daud pun mencari dan akhirnya bertemu,kemudian menceritakan maksud kedatangannya.

"Mungkin kau salah orang. Itu memang namaku,tapi barangkali bukan aku yang kau maksudkan. Bahkan,aku tidak tahu kenapa aku boleh masuk syurga,jika yang kau katakan itu benar," kata perempuan itu.

"Tidak,tidak salah lagi. Kau perempuan itu," kata Nabi Daud berusaha meyakinkan. "Cuba ceritakan kehidupan sehari-harimu."

Perempuan itu lalu menceritakan bahawa setiap kali mendapat musibah apa pun,ia selalu bersabar. Tidak hanya itu,bahkan ia bersyukur dengan musibah itu.

"Itulah amalan yang akan menghantarkanmu menuju syurga," kata Nabi Daud menanggapi. Jadi perempuan itu memperoleh kedudukan tinggi kerana selalu bersyukur bahkan terhadap musibah.

Bersabar terhadap musibah,meski pun berat,itu hal biasa dan tidak istimewa,sebagaimana bersyukur terhadap kurnia. Yang istimewa adalah jika bersyukur terhadap musibah.

Bagamana caranya bersyukur ketika ditimpa musibah? Iaitu dengan melihat sudut-sudut positif dan kebaikan dalam musibah itu,seperti dalam doa Imam Ali Zainal Abidin ketika ia sakit, "Ya Allah,aku tidak tahu,apakah aku harus bersyukur atau bersabar dalam keadaan sakitku ini. Sebab,berkat sakit ini,aku terhindar daripada berbagai-bagai kenistaan,aku mempunyai lebih banyak masa untuk berzikir dan berkumpul bersama keluarga."

Sunday 11 September 2016

Luqman Al Hakim dengan Telatah Manusia


Dalam sebuah riwayat menceritakan,pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menunggang seekor himar (keldai),manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu,setengah orang pun berkata: "Lihat orang tua itu tidak bertimbang rasa langsung,dia sedap menunggang himar sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian,maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menunggang himar itu,sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu,Luqman pun terus naik ke atas belalang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menunggang seekor himar,adalah sungguh menyeksakan himar itu."

Oleh sebab tidak suka mendengar percakapan orang,maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu,kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua-dua orang berjalan kaki,sedangkan himar itu tidak ditunggangi."

Dalam perjalanan mereka,kedua beranak itu pulang ke rumah,Luqman Hakim menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka dengan katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Sesiapa mengenal kebenaran,itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya,katanya, "Wahai anakku,tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan ditimpa kepadanya tiga perkara,iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya,lemah akalnya (mudah ditipu dan diperdaya orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya),dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Kematian Raja Agung Iskandar Zulkarnain


Iskandar Zulkarnain ialah Raja Macedonia yang amat berkuasa. Pada usia muda dua pertiga dunia pernah ditakluknya. Ia memiliki angkatan perang yang kuat dan ditakuti lawan-lawannya. Namun kemegahan yang dirasakan Iskandar tidaklah bertahan lama,ketika ia tiba-tiba jatuh sakit dan terbaring tidak berdaya. Menjelang kematiannya,ia memanggil seluruh panglima angkatan perangnya.

"Sebentar lagi aku akan mati", kata Iskandar kepada mereka dengan suara tersendat. "Pesanku,kalau aku telah mati,letaklah mayatku ke dalam sebuah peti terbuka tanpa penutup,dengan kedua-dua tanganku terjulur keluar. Lalu bawalah mayatku itu mengelilingi seluruh negeri jajahanku."

Mendengar pesan terakhir yang tidak biasa daripada panglima besar mereka,seorang ketua pasukan datang mendekati pembaringan Iskandar hendak bertanya.

"Mengapa tuanku ingin dibaringkan di dalam peti terbuka dengan tangan terjulur keluar?"

"Agar dunia tahu bahawa dalam kemegahan dan kekuasaannya yang amat besar,aku Iskandar Zulkarnain,ketika matinya tidak membawa apa-apa."


p/s : Manusia lahir tidak membawa apa-apa demikian juga ketika matinya. Yang dibawanya hanyalah pertanggungjawapan ke atas setiap perbuatannya semasa hidup di dunia. Dan penghakiman Allah berlaku adil ke atas setiap orang. 

Ternyata Kewujudan Iblis Itu Penting


Salah seorang nabi yang sering diceritakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sabda-sabda Baginda ialah Nabi Daud. Rasulullah pernah mengatakan bahawa orang paling baik ialah orang yang seperti Nabi Daud. Meski ia seorang raja,Nabi Daud memenuhikeperluan hariannya daripada hasil jerih payahnya sendiri. Kita tahu,Nabi Daud dianugerahi kemampuan untuk membentuk besi menjadi barang-barang berguna dengan tangannya sendiri,kemudian menjualnya di pasar. Seperti itulah kehidupannya sehari-hari.

Suatu ketika,ia menyuruh pembantunya menjual barang-barang tersebut ke pasar. Beberapa waktu kemudian,Nabi Daud terkejut ketika pembantunya itu pulang tanpa membawa untung. Barangannya dibawa balik semuanya,tidak ada yang laku. Selidik punya selidik,ternyata hampir semua orang pergi ke kuburan. Pasar sepi,aktiviti sosial terhenti. Semua itu terjadi kerana sebelumnya Nabi Daud menangkap dan memenjarakan para iblis (ini juga menjadi salah satu mukjizat Nabi Daud). Akhirnya,Nabi Daud membebaskan kembali para iblis.

Apa pelajaran yang dapat kita petik daripada cerita ini? Ternyata kehadiran iblis,makhluk yang terkutuk itu,juga berperanan dalam kehidupan kita. Tanpa kehadiran iblis aktiviti duniawi terhenti.

Barangkali kita pernah bertanya-tanya,kenapa perlu diciptakan keburukan dan penderitaan? Itu mungkin menjadi pertanyaan siapa jua yang mendengar,bukan hanya kaum filsuf saja. Dah tentu sahaja jawapannya beraneka ragam.

Seseorang mungkin akan menjawab,penderitaan dicipta oleh Allah untuk mengetahui kadar ketakwaan hambaNya. Namun,jika sekadar ingin tahu,bukankah Tuhan mengetahui segalanya.

Atau mungkin untuk meningkatkan kualiti ketakwaan hambaNya. Dengan ujian penderitaan itu,diharapkan ketakwaan hamba tersebut dapat meningkat. Ternyata secara lahiriah tampak baik-baik sahaja,namun apabila diuji dengan penderitaan,ia justeru kehilangan nilai-nilai moraliti.

Mungkin juga ada orang yang mengatakan,penderitaan dan keburukan di dunia sesungguhnya adalah invetasi (pelaburan) akhirat. Orang yang diuji dengan itu akan mendapat pahala berlipat kali ganda di akhirat kelak. Maka,terimalah semua itu dengan sabar dan lapang dada sebab Allah SWT selalu bersama orang yang sabar.

Jadi,agama selalu dihubungkan dengan penderitaan.

Bagi para filsuf,jawapan-jawapan di atas sangat tidak menggembirakan. Bagaimanakah itu semua menjadi jawapan,sementara Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang! Kenapa pula untuk sekadar memberi pahala harus menimpakan penderitaan dahulu?

p/s : Allah mewujudkan iblis untuk menguji kita di muka bumi ini. Jadi,berdoalah agar kita tidak terpedaya dengan tipu daya iblis serta sentiasa dilindungi Allah SWT in sha Allah.

Saturday 10 September 2016

Trajedi Mengubah Hidupnya Lebih Baik



Saya suka bercerita tentang seorang lelaki bernama Greg. Cerita bermula apabila Greg kehilangan jejak isteri dan anak-anaknya. Setelah sekian lama,Greg kemudian mengupah detektif untuk mencari di mana mereka berada. Akhirnya diketahui,ternayatanya isterinya telah lari bersama lelaki lain setelah kedua-dua berjumpa di sebuah mall dua minggu sebelumnya. Greg mengalami kekecewaan hebat,fikirannya kacau,jiwanya tertekan. Cinta yang selama ini ia curahkan ternyata dibalas dengan pengkhianatan.

Greg lalu kaunseling dengan seorang kaunselor bernama H.Joursen.

"Orang yang membawa lari isterimu itu tentu bukan orang baik,orang gila yang tidak tahu malu dan tidak punya moral. Orang seperti itu hanya akan memanfaatkan orang lain untuk keuntungan dirinya. Ia tidak akan membahagiakan orang lain. Isterimu akan menyesali perbuatannya,"kata kaunselor itu.

Tepat sekali. Akhirnya,Amee,nama wanita itu,kembali kepada Greg. Dan,tentu saja,Greg sudah tidak mahu menerima kehadirannya lagi. Dua bulan berikutnya,Greg mendapatkan hak asuh terhadap anak-anaknya,menjadi single parent. Sungguhpun begitu,kehidupan Greg selanjutnya masih belum cerah. Wang yang ia peroleh daripada gajinya sebagai pembantu pensyarah telah kering untuk membiayai perjuangannya mendapatkan hak asuh anak-anakya di pengadilan. Garapan-garapannya juga bermasalah. Ia juga mencemaskan keadaan mental anak-anaknya sebab terpaksa hidup tanpa seorang ibu.

Hari demi hari berlalu,luka hati Greg semakin kering,meskipun tetap berparut. Ia merenungi keadaan berat yang pernah ia lalui itu. Ia tersentuh,sebab selama dalam penderitaan,banyak hikmah yang ia dapat. Banyak kawannya yang lebih memperhatikannya dan ikut membantu meringankan beban kehidupannya. Ibu bapanya menjual rumah kemudian pindah ke tempat yang lebih dekat dengan Greg untuk membantu membesarkan anak-anak Greg.

Greg mengatakan bahawa pengalaman telah mengubah kehidupannya,mengajar bagaimana sewajarnya memperlakukan orang lain. Ia mengalami perubahan nilai-nilai dalam hidupnya. Kini ia lebih mudah berempati dan memaafkan orang lain dan tidak lagi menjadi pemarah.

Beransur-ansur kehidupannya semakin bertambah baik. Garapan-garapan buku yang pernah tertunda dapat ia selesaikan. Tidak lama kemudian ia mendapatkan pekerjaan yang lebih layak.

p/s : Begitulah. Terkadang tragedi membawa kebaikan dan kesedaran baharu bagi penderitaannya,untuk kemudian menjalani kehidupan yang lebih baik.

Petani Jagung


Alkisah ada seorang petani jagung yang sangat berjaya. Ayah berhenti mengambil nafas sejenak. Aku dan Mas Agus pasang telinga,ghairah mendengarnya.

Dengan nada layaknya seorang pendongeng ia melanjutkan, "Di negerinya,setiap tahun diadakan pertandingan jagung,untuk mencari petani mana yang menghasilkan jagung terbaik. Petani berjaya tadi,sering memenangi pertandingan jagung tersebut. Bukan hanya sekali,namun berkali-kali dan boleh dikatakan setiap kali pertandingan jagung diadakan petani inilah pemenangnya. Kamu tahu rahsianya?" Tanya Ayah ke arah kami.

"Baja rahsia", Mas Agus cuba menjawab.

"Bukan,bukan itu rahsianya. Suatu ketika seorang wartawan bertanya kepada petani jaya ini,apa formula rahsianya dia boleh memenangi pertandingan jagung tersebut sampai berkali-kali. Si petani menjawab, 'Tak ada formula rahsia,aku hanya membahagikan benih-benih jagung terbaikku kepada petani jiran tetanggaku."

"Ah,benih jagung terbaiknya takkan diberikan kepada jiran tetangga? Tetapi aneh bagaimana pula dia yang menang? Aneh!" Tanyaku.

"Itu dia kuncinya", Ayah tersenyum. "Alin di sekolah belajar Biologi kan? Tentang tanaman yang punya serbuk debunga dan putik?"

"Sudah" jawabku sambil mengangguk.

"Kita tahu bahawa angin menerbangkan serbuk debunga dari bunga-bunga yang masak,lalu menebarkannya dari satu ladang ke ladang yang lain," tangan ayah bergerak-gerak bak seorang pendongeng.

"Cuba bayangkan jika tanaman jagung jiran tak elok,maka serbuk debunga yang ditebarkan ke ladang petani jaya ini pun juga tidak baik. Ini tentu menurunkan kualiti jagungnya." Kakakku angguk-angguk kepala mulai faham.

Ayah melanjutkan "Sebaliknya jika tanaman jagung jiran baik,maka serbuk debunga yang dibawa angin dari ladang jagung mereka akan baik pula,di sinilah apabila kita ingin mendapatkan hasil jagung yang baik,kita mesti menolong jiran kita untuk mendapatkan jagung yang baik juga."

"Begitulah juga dengan hidup kita Nak. Jika kita ingin meraih pendapatan yang tinggi,maka kita mesti menolong orang di sekitar kita berjaya juga. Mereka yang ingin hidup dengan baik mesti menolong orang di sekitarnya untuk hidup dengan baik pula." Ayah menutup ceritanya dengan bijak.


p/s : Konsep 'What you give you will get back' telah digambarkan dalam kisah ini. Kita tolong orang , Allah akan tolong kita balik in sha Allah.

Thursday 8 September 2016

Ibrahim bin Adham dengan Pemuda Berdosa


Suatu hari,Ibrahim bin Adham didatangi oleh seseorang yang sudah sekian lama hidup dalam kemaksiatan,sering mencuri,selalu menipu dan tidak pernah bosan berzina. Orang ini mengadu kepada Ibrahim bin Adham, "Wahai tuan guru,aku seorang yang banyak dosa yang rasanya tidak mungkin dapat keluar dari lembah maksiat. Tetapi,tolong ajari aku seandainya ada cara untuk menghentikan semua perbuatan tercela ini?"

Ibrahim bin Adham menjawab, "Kalau kamu boleh selalu berpegang pada lima hal ini,nescaya kamu akan dijauhkan daripada segala perbuatan dosa dan maksiat."

Pertama,jika kamu masih hendak berbuat dosa dan maksiat,maka usahakanlah agar Allah jangan sampai melihat perbuatanmu itu.

Orang itu terangkuh, "Bagaimana mungkin,Tuan Guru,bukankah Allah selalu melihat apa sahaja yang diperbuat oleh sesiapa pun? Allah pasti tahu walaupun perbuatan itudilakukan bersendirian,di dalam bilik yang gelap,bahkan di lubang semut pun."

"Wahai anak muda,kalau yang melihat perbuatan dosa dan maksiatmu itu ialah jiran tetanggamu,kawan dekatmu,atau orang yang kamu hormati,apakah kamu akan meneruskan perbuatanmu? Lalu mengapa terhadap Allah kamu tidak malu,sementara Dia melihat apa yang kamu perbuat?"

Orang itu lalu tertunduk dan berkata, "Katakanlah yang kedua,tuan guru!"

"Kedua,jika kamu masih hendak berbuat dosa dan maksiat,maka jangan sekali-kali kamu makan rezeki Allah."

Pemuda itu kembali terangkuh, "Bagaimana mungkin,tuan guru,bukankah semua rezeki yang ada di sekeliling manusia adalah daripada Allah semata-mata? Bahkan air liur yang ada di mulut dan tenggorokku adalah daripada Allah jua."

Ibrahim bin Adham menjawab, "Wahai anak muda,masih patutkah kita makan rezeki Allah sementara setiap saat kita melanggar perintahNya dan melakukan laranganNya? Kalau kamu tumpang makan kepada seseorang,sementara setiap saat kamu selalu mengecewakannya dan dia melihat perbuatanmu,masihkah kamu punya muka untuk terus makan makanannya?"

"Sekali-kali tidak! Katakanlah yang ketiga,tuan guru."

"Ketiga,kalau kamu masih hendak berbuat dosa dan maksiat,janganlah kamu tinggal lagi di bumi Allah."

Orang itu tersentak, "Bukankah semua tempat ini adalah milik Allah,tuan guru? Bahkan segenap planet,bintang dan langit adalah milikNya juga?"

Ibrahim bin Adham menjawab, "Kalau kamu bertamu ke rumah seseorang,tumpang makan semua miliknya,adakah kamu sudah cukup tebal muka untuk melecehkan peraturan-peraturan tuan rumah itu sementara dia selalu tahu dan melihat apa yang kamu lakukan?"

Orang itu kembali terdiam,air mata menitis perlahan dari kelopak matanya lalu berkata, "Katakanlah yang keempat,tuan guru."

"Keempat,jika kamu masih hendak berbuat dosa dan maksiat,dan suatu ketika malaikat maut datang untuk mencabut nyawamu sebelum kamu bertaubat,tolahlah ia dan janganlah biarkan nyawamu dicabut."

"Bagaimana mungkin,tuan guru? Bukankah tidak ada seorang pun yang mampu menolak datangnya malaikat maut?"

Ibrahim bin Adham menjawab, "Kalau kamu tahu begitu,mengapa masih jua berbuat dosa dan maksiat? Tidakkah terfikir olehmu,jika suatu ketika malaikat maut itu datang justeru ketika kamu sedang mencuri,berzina,menipu dan melakukan dosa lainnya?"

Air mata menitis semakin deras dari kelopak mata pemuda itu,kemudian ia berkata, "Wahai tuan guru,katakanlah yang kelima."

"Kelima,jika kamu masih hendak berbuat dosa,dan tiba-tiba malaikat maut mencabut nyawamu justeru ketika kamu sedang melakukan dosa,maka janganlah mahu kalau nanti malaikat Malik akan memasukkanmu ke dalam neraka. Mintalah kepadanya kesempatan hidup sekali lagi agar kamu dapat bertaubat dan menampal dosa-dosamu itu."

Pemuda itu pun berkata, "Bagaimana mungkin seseorang boleh meminta kesempatan hidup lagi,tuan guru? Bukankah hidup hanya sekali?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Oleh sebab hidup hanya sekali anak muda,dan kita tidak pernah tahu bila maut akan menjemput kita,sementara semua yang telah diperbuat pasti akan kita pertanggungjawabkan di akhirat kelak,apakah kita masih akan mensia-siakan hidup ini hanya untuk menumpuk dosa dan maksiat?"

Pemuda itu pun langsung pucat,dan dengan suara parau menahan ledakan tangis ia mengiba, "Cukup tuan guru,aku tidak sanggup lagi mendengarnya."

Lalu ia pun beranjak pergi meninggalkan Ibrahim bin Adham. Dan sejak saat itu,orang ramai yang mengenalinya sebagai seorang ahli ibadah yang jauh daripada perbuatan tercela.

p/s : Semoga kisah ini menjadi renungan bagi kita bersama dalam menapaki setiap langkah kita selagi hidup di dunia.


Monday 5 September 2016

Abu Nawas dan Lelaki Kedekut


Syahdan,pada suatu masa dahulu ada seorang lelaki yang sangat kedekut. Ia mempunyai sebuah rumah yang cukup besar. Di dalam rumah itu dia tinggal bersama seorang isteri dan tiga orang anaknya yang masih kecil. Lelaki ini merasa rumahnya sudah sangat sempit untuk dirinya dan keluarganya. Namun,untuk memperluas rumahnya,lelaki itu merasa sayang untuk mengeluarkan wang. Ia memerah otaknya memikirkan bagaimana caranya agar ia boleh memperluaskan rumahnya tanpa mengeluarkan wang yang banyak, Akhirnya,dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Abu Nawas,seorang yang cerdik di kampungnya. Pergilah ia menuju rumah Abu Nawas.

Lelaki kedekut : Salam hai Abu Nawas,semoga engkau selamat sejahtera.

Abu Nawas: Salam juga untukmu hai orang asing,ada apa gerangan kamu datang ke kediamanku yang usang ini?

Lelaki ini lalu menceritakan masalah yang ia hadapi. Abu Nawas mendengar dengan saksama. Setelah lelaki itu selesai bercerita,Abu Nawas tampak bertafakur seketika,tersenyum,lalu ia berkata: "Hai fulan,jika kamu menghendaki kediaman yang lebih luas,belilah sepasang ayam,jantan dan betina,lalu buatkan reban di dalam rumahmu. Tiga hari kemudian kau lapor padaku bagaimana keadaan rumahmu."

Lelaki kedekut itu bingung,apa hubungan ayam dengan luas rumahnya itu,tetapi ia tidak membantah. Sepulang dari rumah Abu Nawas,ia membeli sepasang ayam,lalu dibuatnya reban untuk ayam itu di dalam rumah.

Tiga hari kemudian,ia kembali ke kediaman Abu Nawas,dengan wajah berkerut.

Abu Nawas : Bagaimana fulan,sudah bertambah luaskah kediamanmu?

Lelaki kedekut : Boro boro ya Abu. Apa kamu yakin ideamu ini tidak salah? Rumahku tambah kacau dengan adanya kedua dua ekor ayam itu. Mereka membuat kekacauan dan kotorannya berbau tidak sedap.

Abu Nawas : (sambil tersenyum) kalau begitu tambahkan sepasang itik dan buatkan reban di dalam rumahmu. Kemudian kembali ke sini tiga hari lagi.

Lelaki itu terperanjat. Kelmarin ayam sekarang itik,memangnya rumahnya rumah penternakan? Atau si cerdik Abu Nawas ini sedang kumat jahilnya? Namun seperti pertama kali,ia tidak membantah,kerana ingat reputasi bu Nawas yang selalu berjaya menyelesaikan berbagai masalah. Pergilah ia ke pasar dibelinya sepasang itik lalu dibuatnya reban di dalam rumahnya.

Setelah tiga hari ia kembali menemui Abu Nawas,

Abu Nawas : Bagaimana fulan,kediamanmu sudah mulai terasa luas atau belum?

Lelaki kedekut : Aduh Abu,ampun,jangan kau memperdayai aku. Ketika ini adalah saat paling parah selama aku tinggal di rumah itu. Rumahku sekarang sangat mirip pasar haiwan,sempit,padat dan baunya bukan main.

Abu Nawas : Wah baguslah kalau begitu. Tambahkan seekor kambing lagi. Buatkan ia kandang di dalam rumahmu juga. Kemudian kembali ke sini tiga hari lagi.

Lelaki kedekut : Apa kau sudah gila Abu? Kelmarin ayam,itik dan sekarang kambing. Apa tidak ada cara lain yang lebih normal?

Abu Nawas : Lakukan saja,jangan membantah.

Lelaki itu tertunduk lesu,bagaimanapun juga yang memberi idea adalah Abu Nawas,si cerdik pandai yang tersohor. Maka dengan pasrah pergilah ia ke pasar dan beli seekor kambing.

Tiga hari kemudian dia kembali menemui Abu Nawas.

Abu Nawas : Bagaimana fulan? Sudah membesarkah rumahmu?

Lelaki kedekut : Rumahku sekarang sudah jadi neraka,Abu. Isteriku mengomel sepanjang hari,anak-anak menangis,semua haiwan berkotek dan mengembik,bau,panas,sumpek,betul betul parah ya Abu. Tolong aku Abu,jangan suruh aku beli lembu dan mengandangkannya di rumahku,aku tidak sanggup ya Abu.

Abu Nawas : Baiklah kalau begitu,pulanglah kamu lalu juallah kambingmu ke pasar,besok kau kembali unutk menceritakan keadaan rumahmu.

Lelaki itu pulang sambil bertanya-tanya dalam hatinya,kelmarin disuruh beli,sekarang disuruh jual,apa mahunya si Abu Nawas. Namun ia tetap menjual kambingnya di pasar. Keesokan harinya kembali ke rumah Abu Nawas.

Abu Nawas : Bagaimana keadaan rumahmu hari ini?

Lelaki kedekut : Ya,baik lah Abu,paling tidak bau dari kambing dan suara embikannya yang bingit sudah tidak ku dengar lagi.

Abu Nawas : Kalau begitu juallah itik-itikmu hari ini,besok kau kembali ke mari.

Lelaki itu pulang ke rumahnya dan menjual itik-itiknya ke pasar. Esok harinya ia kembali ke rumah Abu Nawas.

Abu Nawas : Jadi,bagaimana keadaan rumahmu sekarang?

Lelaki kedekut : Syukurlah Abu,dengan perginya itik-itik itu,rumahku jadi jauh lebih tenang dan tidak terlalu sumpek dan berbau lagi. Anak-anakku juga sudah mulai berhenti menangis.

Abu Nawas : Bagus,kini juallah ayam-ayammu ke pasar dan kembali besok.

Lelaki kedekut itu pulang dan menjual ayam-ayamnya ke pasar. Keesokan harinya ia kembali dengan wajah yang berseri-seri ke rumah Abu Nawas.

Abu Nawas : Kulihat wajahmu cerah hai fulan,bagaimana keadaan rumahmu sekarang?

Lelaki kedekut : Alhamdulillah ya Abu,sekarang rasanya rumahku sangat lega kerana ayam dan rebannya sudah tidak ada. Kini isteriku sudah tidak marah-marah lagi,anak-anakku juga sudah tidak cerewet lagi.

Abu Nawas : (sambil tersenyum) Nah nah,kau lihat kan,sekarang rumahmu sudah menjadi luas padahal kau tidak menambah bangunan apa pun atau memperluas tanah bangunanmu. Sesungguhnya rumahmu itu cukup luas,hanya hatimu sempit sehingga kau tak melihat betapa luasnya rumahmu. Mulai sekarang kau harus lebih banyak bersyukur kerana masih ramai orang yang rumahnya lebih sempit daripadamu. Sekarang pulanglah kamu dan atur rumah tanggamu,dan banyak-banyaklah bersyukur atas apa yang direzekikan Allah SWT kepadamu dan jangan banyak mengeluh.

Lelaki kedekut itu pun termenung,sedar atas segala kekeliruannya,ia terpana akan kecendikiawan sang tokoh dan mengucapkan terima kasih kepada Abu Nawas.

p/s : Sesungguhnya nikmat dunia ini serba sedikit menutup kedua-dua matamu untuk melihat kebesaran Allah yang seluas langit dan bumi. Rezeki Allah itu luas dan banyakkan bersyukur atas apa yang dikurniakan kepada kita.

Sunday 4 September 2016

Kasut Yang Hilang



Seorang filsuf dan penyair Iran bernama Sa'di bercerita. Suatu ketika ia mendirikan solat di Masjid Bani Umaiyah di Damaskus(masjid itu dibina oleh Umaiyah. Sekarang sudah tidak digunakan sebagai masjid lagi,melainkan sebagai bangunan pelancongan). Selesai solat,ia melihat kasutnya tiada di situ. Ia menggerutu,meratapi kasutnya yang hilang. Hatinya menyalahkan setiap orang yang ada. Ia berbisik,di tempat ibadah pun boleh terjadi kecurian.

Sa'di kembali ke dalam masjid,hendak menanyakan,barangkali ada yang tahu di mana kasutnya berada. Belum lagi sempat bertanya,ia melihat seorang tua dengan senyum sambil terkulum di wajahnya,menyerlahkan bahagia di hatinya. Yang Sa'di terpegun adalah ternyata orang tua itu cacat,kehilangan kedua-dua kakinya. Sa'di lantas merenung,bagaimana boleh aku menggerutu hanya kerana kehilangan kasut,sementara wajah orang tua itu memancarkan bahagia walaupun kedua dua kakinya tiada.

Cerita yang lebih kurang sama juga terdapat dalam buku How To Stop Worrying and Start Living karya Dale Carnegie. Dalam buku itu dikisahkan,seorang ahli perniagaan di Amerika memasang hiasan tulisan di pejabatnya: Aku pernah berduka kerana kehilangan kasut hingga aku berjumpa dengan orang yang kehilangan kedua-dua kakinya.

Ceritanya,perusahaan ahli perniagaan itu bankrap. Setelah menyelesaikan urusan piutang dengan bank,ia memutuskan pulang ke kampung,berkumpul bersama keluarganya. Ketika hendak menyeberang jalan,ia disapa dengan ekspresi bahagia oleh orang yang berjalan dengan kerusi roda. Ia terpegun melihat orang yang menyapanya itu. Kesan daripada peristiwa itulah ia cuba bangkit,merintis kembali usahanya dan akhirnya ia kembali menjadi pengusaha besar dan berjaya.

Kisah kisah di atas menggambarkan gejala missing style syndrome: Setitik derita menjadi seolah olah raksasa kerana perhatian hanya tertumpu padanya,dengan mengabaikan bahawa setitik itu sesungguhnya berada di tengah belantara bahagia.

Ada istilah half empty dan half full. Maksud half empty boleh saya contohkan seperti ini: Saya membuat segelas minuman yang sangat nikmat. Saya minum hingga kemudian berbaki setengah,kemudian dengan nada menyesal,saya mengatakan, "Yah,tinggal setengah beb." atau "Habis beb setengahnya." Sedangkan maksud half full maka saya akan mengatakan, "Syukur masih berbaki setengah." Boleh kita fahami perbezaannya.Jika half empty meratapi yang telah berlalu dan telah tiada,sedangkan half full mensyukuri yang masih berbaki dan masih ada.

Nah,missing style syndrome itu tidak berbeza dengan karakter half empty: Kedua duanya sama-sama menjadikan apa yang telah tiada menjadi fokus perhatian,yang memunculkan sikap pesimis dan putus asa.


p/s : Sedangkan orang lain tidak mempunyai kesempurnaan seperti kita , mereka bahagia dengan apa yang seadanya pada mereka. So be grateful for what we have now dan gunalah nikmat itu pada jalan kebaikan sebagai balas budi kita kepada Allah SWT.   Wallahualam.